BALING - Rata-rata penoreh getah makin terhimpit berikutan harga getah
semakin merudum sehingga RM2.50 berbanding RM2.80 sebelum ini.
Pengerusi Biro Pertanian Umno Baling, Mohd Taufik Yaakub berkata,
pihaknya menerima banyak keluhan dari penoreh getah mengenai keadaan
itu.
Menurutnya, lebih daripada 50 peratus penduduk di daerah ini menjalankan
aktiviti pertanian dan kebanyakannya adalah melibatkan pertanian getah.
“Kita hanya mampu berharap harga getah naik kerana tiada harga siling yang ditetapkan untuk tanaman ini.
“Tambahan pula, harga kini semakin merudum sehingga paras RM2.50 sekilogram berbanding RM2.80 sebelum ini.
“Harga ini amat rendah terutama kepada mereka perlu membahagikan wang hasil getah kepada tuan tanah,” katanya.
Katanya, selain getah, barang pertanian melibatkan baja juga telah naik mendadak sehingga ada kenaikan 100 peratus.
“Secara tidak langsung ia akan menjejaskan pengeluaran produk pertanian
kerana melibatkan modal yang tinggi dari petani,” katanya.
Ditanya apakah cara untuk menyelesaikan masalah ini, Taufik berkata,
pihaknya hanya boleh mencadangkan mekanisme kepada menteri berkaitan
untuk tindakan lanjut.
“Kita tidak ada kuasa untuk membantu dari segi meningkatkan harga getah,
tetapi kita akan memberikan cadangan kepada menteri berkaitan untuk
membantu rakyat yang mengusahakan pertanian,” katanya.
Menurutnya, dia perlu menjelaskan perkara sebenar terutama melibatkan keluhan penduduk melibatkan harga getah ini.
“Sehubungan itu, satu mekanisme wajar dilakukan oleh kerajaan untuk kebaikan penduduk kampung,” katanya.